SEJARAH SUKU KAUM SULUK DI SABAH
Suku kaum Suluk ialah suku kaum yang terdapat di
sebelah pantai timur Sabah dari utara Kudat hingga ke
tenggara Tawau. Suku kaum Suluk ini adalah
penduduk asal di Sabah. Masyarakat Suluk ini adalah tergolong dalam rumpun
Melayu sama seperti suku kaum Melayu Brunei, Melayu Arab, Melayu Banjar dan
Melayu Jawa. Sebaliknya, masyarakat Melayu Suluk di Sabah ini tidak berbeza
dengan bangsa Tausug di Kepulauan Sulu yang terpisah ratusan tahun dari
perhubungan dan amalan cara hidup.
Di Sabah, masyarakat Suluk tempatan telah hidup
beratus tahun di Sabah bersama masyarakat lain seperti masyarakat Bajau, Dusun,
Sungai dan Murut. Pejuang Bangsa Menentang Penjajah British iaitu Datu Paduka Mat Salleh adalah
berketurunan Suluk Paitan manakala Bapa Kemerdekaan Sabah iaitu Tun Datu Mustapa Datu Harun adalah
berketurunan Suluk Kudat. Pengarah Yayasan Sabah iaitu Tan Sri Datu Khalil bin
Datu Jamilul juga adalah berketurunan Suluk tempatan Sabah. Begitu juga dengan
Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri
Sabah iaitu Datuk Seri Haji Datu Nasrun bin Datu Haji Mansur yang mana beliau
juga adalah berketurunan Suluk Sabah. Manakala selain dari Datu Paduka Mat
Salleh, ada ramai lagi pejuang pejuang bangsa penentang penjajah British dari
kalangan mereka yang berketurunan Suluk Sabah iaitu Datu Tating di Pulau
Balambangan pada tahun 1773, Datu Baginda Putih di Sandakan pada tahun 1879 dan
Datu Kedunding pada tahun 1879 di Tungku.
Pada masa kini, masyarakat Suluk di Tawau ( yang
dahulunya tinggal bersama dengan masyarakat Tidung di sebuah perkampungan
nelayan dikenali sebagai Tawau Lama pada masa kini ), sudah tidak wujud lagi
sebagai masyarakat Suluk asli sebaliknya keturunan mereka sudah bercampur baur
keturunannya melalui perkahwinan dengan masyarakat lain seperti Tidung, Cina
Muslim, Arab, Iban Muslim, Banjar, Jawa dan sebagainya. Mereka lebih dikenali
sebagai Masyarakat Melayu di Tawau ini kerana bertutur dalam bahasa Melayu,
mengamalkan adat dan budaya Melayu sejak turun temurun. Misalnya keturunan Kee
Abdullah ( Cina Muslim ), Penghulu Tawau pertama telah berkahwin gadis Melayu
Suluk ( Jumatiah ) dan ramai keturunannya hari ini adalah berketurunan Melayu Tawau.
Begitu juga Datuk Abu Bakar Titingan ( Suluk ) yang berkahwin dengan Kee Hayati
( peranakan Cina ) dan mewujudkan ramai keturunan Melayu di Tawau ini.
Ramai masyarakat di Tawau yang dikenali sebagai
masyarakat Melayu ini adalah keturunan dari pelbagai suku-suku kaum yang sudah
mengalami percampuran darah keturunan sejak dahulu lagi. Mereka tidak boleh
dibezakan kerana agama dan budaya yang diamalkan adalah sama. Namun keadaan ini
tidak sama dengan masyarakat pendatang dari Indonesia dan Filipina kerana
mereka ada budaya yang tersendiri. Ini kerana kewujudan imigran-imigran
Indonesia dan imigran-imigran Filipina ini adalah agak terkemudian iaitu
setelah Tawau makmur sebagai lubuk sumber ekonomi. Mereka datang ke Tawau
semata-mata untuk mencari rezeki dan sebelum kedatangan mereka ke Tawau, mereka
sudah pun mempunyai identiti negara mereka sendiri. Berbanding dengan
masyarakat Melayu Tawau ini, mereka telah wujud di Tawau sudah terlalu lama
iaitu sebelum kedatangan pemerintahan penjajah Inggeris atau sebelum zaman
pemerintahan tentera Jepun lagi.
Sejarah Suluk di Sabah
Mengikut sejarahnya, Sabah dahulunya adalah
sebahagian Kerajaan Kesultanan Melayu Sulu ( di sebelah timur ) yang begitu
rapat hubungannya dengan Kerajaan Kesultanan Melayu Brunei ( di sebelah barat
Sabah ). Tanah jajahan Kerajaan Melayu Sulu meluas hingga keseluruhan bahagian
timur Sabah termasuk di kawasan sepanjang Sungai Sugut, Sungai Labuk dan Sungai
Kinabatangan dan Sungai Segama. Masyarakat Melayu Suluk telah membuka
penempatan di pesisiran pantai sebelah timur Sabah. Misalnya, Sandakan dan
Lahad Datu adalah contoh penempatan yang diberi nama mengikut bahasa Suluk
asli.Sandakan adalah bermaksud 'Tanah Gadaian' manakalaLahad
Datu bermaksud 'Persinggahan Datu'.
Di Tawau, masyarakat Suluk tempatannya agak
berbeza dengan masyarakat Suluk Sabah yang lain. Ini kerana masyarakat Suluk
Tawau yang telah wujud lama di Tawau ini telah berasimilasi dengan masyarakat
Melayu lain yang ada di Tawau. Mereka hidup bersama dan berkahwin dengan masyarakat
suku kaum Melayu lain seperti Melayu Tidung, Melayu Banjar, Melayu Arab, Melayu
Jawa , Melayu Bugis dan sebagainya. Rentetan dari perkahwinan campur antara
pelbagai suku kaum Melayu ini, kini masyarakat Melayu Suluk di Tawau lebih
dikenali sebagai Masyarakat Melayu Tawau.
Oleh kerana Sabah Timur di bawah pemerintahan
Kerajaan Melayu Sulu, banyak golongan bangsawan di kalangan masyarakat Suluk
Sabah yang dilantik sebagai wakil pemerintah Kerajaan Melayu Sulu. Misalnya
Datu Paduka Mat Salleh yang diberi kuasa untuk menjaga perairan Sungai Sugut.
Gelaran 'Datu' pula adalah gelaran yang diberikan kepada golongan bangsawan
masyarakat Melayu Suluk di Sabah. Di Tawau pula, pemimpin Melayu dari keturunan
Suluk yang pernah memimpin masyarakat suatu ketika dahulu ialah Sarip Ali dari
tahun 1905 hingga 1912. Selepas itu, ketika sebelum dan selepas Perang Dunia
dan Pendudukan Jepun di antara tahun 1937 hingga 1953, Penghulu Abu Bakar yang
juga berketurunan Suluk Tawau pernah memimpin masyarakat Melayu di Tawau. Kemudian
era pra kemerdekaan, Datuk Abu Bakar Titingan bin Damsani ( juga berketurunan
Suluk Sabah ) pula memainkan peranan sebagai pemimpin masyakarat Melayu di
Tawau. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi USNO pada Mei 1962 dan memikul
tanggungjawab untuk menyatukan semua orang-orang Melayu pada masa itu di bawah
satu payung iaitu USNO bagi menuntut kemerdekaan Sabah melalui Malaysia pada 16
September 1963.
Suluk Tawau Bukan Tausuq ( Filipina )
Suluk Tawau adalah cuma nama asalnya sebuah
keturunan namun hakikatnya kewujudan mereka adalah di dalam sebuah komuniti
iaitu orang-orang Melayu sama seperti suku-suku kaum Melayu lain yang terdapat
di Tawau seperti Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Tidung. Oleh yang
demikian, orang-orang Melayu keturunan Suluk di Sabah menganggap diri mereka
adalah Orang Melayu lebih-lebih sudah ratusan tahun, mereka cuma bertutur dalam
satu bahasa iaitu Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya dan adat Melayu bersama
komuniti Melayu lain.
Walaupun suku Suluk ini
juga ramai terdapat ramai di tempat lain seperti di Filipna dan Kalimantan
namun cara hidup, pertuturan dan budaya di antara Suluk Tawau adalah sangat
berbeza dengan Suluk di Filipina ( Tausug ). Ini kerana bahasa pertuturan Suluk
Tawau adalah bahasa Melayu Sabah manakala pertuturan Suluk di Filipina adalah
bahasa pertuturan Suluk [Tausug]. Ramai orang Tausuq di Filipina yang tidak
tahu bertutur bahasa Melayu dan bagi yang tahu bertutur dalam bahasa Melayu,
loghat pertuturan mereka adalah sangat berbeza dengan loghat masyarakat Melayu
Tempatan. Dari segi budaya hidup pula, Suluk Tawau adalah mengamalkan budaya
hidup Melayu tempatan Sabah dan gaya hidup bangsa Malaysia manakala masyarakat
Tausuq di Filipna telah mengamalkan budaya masyarakat Tausug yang agak berbeza
dengan budaya Melayu di Malaysia.
Perbezaan Melayu Tawau ( Berdarah Campuran Suluk
) Dengan Tausuq ( Suluk Filipino )
Melayu Tawau ialah masyarakat Melayu yang wujud
di Tawau sebelum zaman penjajahan lagi dan sebelum zaman pendudukan tentera
Jepun di Borneo Utara. Manakala Tausuq yang merupakan bangsa pendatang dari
Filipina yang datang ke Tawau setelah kewujudan negara Filipino. Di Filipina,
mereka dikenali sebagai bangsa Moro manakala di Sabah mereka diwartakan sebagai
bangsa Filipino sama seperti bangsa Visaya dan Tagalog yang juga berasal dari
Filipina dan datang ke Tawau ketika zaman pergolakan peperangan di selatan Filipina.
Walaupun masyarakat Melayu Tawau ada yang berdarah campuran Suluk tetapi mereka
tidak tahu langsung bertutur dalam bahasa Suluk sebaliknya hanya tahu bertutur
dalam bahasa Melayu Loghat Tawau dan mengamalkan adat tradisi Melayu serta
patuh kepada ajaran dan amalan agama Islam yang suci, diwarisi dari nenek
moyang mereka yang sememangnya tinggal di Tawau sejak beberapa generasi dahulu.
Masyarakat Melayu Suluk Tawau
Sebagai
penduduk tempatan asli Tawau bersama suku kaum Melayu yang lain seperti Melayu Tidung, Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Jawa tempatan, masyarakat
Melayu Suluk hidup bersama-sama dengan mengamalkan budaya dan cara hidup Melayu
tempatan. Budaya masyarakat Melayu Tawau adalah budaya kemelayuan yang
bertunjangkan agama Islam. Masyarakat ini hidup dengan aman di Tawau tanpa
terpengaruh dengan budaya dari Indonesia dan Filipina yang dibawa oleh
masyarakat pendatang dari kedua buah negara jiran tersebut.Contoh penempatan
awal masyarakat Melayu Suluk Tawau bersama masyarakat Melayu Tidung ialah di
Kampung Batu Payung, Kampung Apas Balung, Kampung Membalua, Kampung Indrasabah,
Kampung Wakuba dan Kampung Ranggu.
Pemimpin masyarakat Melayu di Tawau yang sangat
berjasa ketika sebelum dan awal kemerdekaan negeri Sabah ialah Datuk Abu Bakar
Titingan, pengasas Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( PKMT ) pada tahun 1945.
Ketua pemimpin masyarakat Melayu pertama di Tawau yang dilantik oleh Kerajaan
British ( Penghulu ) pada awal 1900an iaitu OKK Kee Abdullah juga anak angkat
kepada seorang nelayan berbangsa Suluk Kudat bernama Ibrahim dan isteri beliau
juga adalah seorang wanita Suluk Tawau bernama Jumatiah binti Ami Maidin.
Selain itu, terdapat ramai pemimpin dari masyarakat Melayu keturunan Suluk di
Tawau yang dilantik menjadi Ketua Anak Negeri sebagai menunjukkan membuktikan
yang masyarakat Melayu Suluk Tawau adalah penduduk asal di Tawau. Antaranya
ialah OKK Abu Bakar dan OKK Said Sallabi.
No comments:
Post a Comment